Wednesday 13 March 2013

KEBERSIHAN LAMBANG KEIMANAN


TEKS SYARAHAN KEBERSIHAN LAMBANG KEIMANAN


Indah pemandangan di waktu senja,

Bulan timbul nampak ketara,

Menjaga kebersihan amalan mulia,

Menjamin kehidupan aman sejahtera.

 

Terima kasih sejambak mawar seharum kasturi buat pimpinan majlis, barisan kehakiman intelektual berkarisma, penjaga masa yang setia dengan masanya, guru-guru dan rakan-rakan yang dikasihi.

Assalamualaikum  salam sejahtera dan salam satu Malaysia ,

Sidang saksi yang saya hormati,

Berdirinya saya pada pagi yang diberkati ini adalah untuk menyampaikan sebuah syarahan yang bertajuk “KEBERSIHAN LAMBANG KEIMANAN”. Sebelum isi demi isi saya lontarkan, izinkan saya puteri dari Penambang untuk mendefinisikan tajuk syarahan saya. Kebersihan bermaksud tidak kotor, kesucian dan kemurnian. Manakala keimanan pula bermaksud keteguhan hati dan keyakinan. Kesimpulannya “KEBERSIHAN LAMBANG KEIMANAN” boleh didefinisikan sebagai kesucian tanda orang yang teguh hati.

Kebersihan merupakan sebahagian daripada iman serta tunggak kepada sebuah kehidupan yang selesa dan harmoni selain menjadi manifestasi keteguhan iman seseorang kepada Allah SWT. Kita perlu diyakinkan bahawa kebersihan adalah antara faktor penentu kejayaan diri dan negara. Kebersihan adalah amalan yang sangat dituntut dalam Islam. Islam sendiri adalah agama yang bersih.

Oleh itu, pastinya penganut agama Allah ini dituntut untuk menjaga kebersihan. Rasulullah SAW bersabda:


      ertinya : Diriwayatkan dari Sa’ad bin Abi Waqas dari Rasulullah SAW. Beliau bersabda : “Sesungguhnya Allah SWT itu suci yang menyukai hal – hal yang suci, Dia Maha bersih yang menyukai kebersihan, Dia Maha mulia yang menyukai kemuliaan, Dia Maha indah yang menyukai keindahan, kerana itu bersihkanlah tempat – tempatmu.” (HR. Tirmizi)
 
 Kesihatan boleh dikatakan sangat mahal harganya dalam kehidupan kita. Badan yang bersih baru boleh melahirkan badan yang sihat. Walaupun kita memiliki segalanya tetapi kita dalam keadaan sakit, segala yang dimiliki oleh kita itu tidak berguna. Oleh demikian, kebersihan badan adalah penting dan utama kepada kita.sesungguhnya akal yang cerdas hasil daripada kesihatan yang baik. Hal ini dibuktikan melalui apa yang diamalkan oleh rasulullah. Baginda sangat menitikberatkan pemakanan yang sihat seperti mengamalkan membaca doa sebelum dan selepas makan dan membasuh tangan sebelum dan selepas makan.

Pada hari ini kita dapat lihat pelbagai program yang dianjurkan oleh kerajaan. Misalnya program MySihat yang dianjurkan oleh kementerian kesihatan bagi menyedarkan rakyat tentang pentingnya kebersihan. Ternyata kebersihan mampu menyebarkan kesihatan yang hakiki.

Tumbuh tinggi pohon kuini,

Tempat bermain anak kedidi,

Kebersihan asas pembangunan rohani,

Melahirkan insan luhur peribadi.


Sidang warga dewan yang saya kasihi,

            Kebersihan mampu melahirkan insan yang berakhlak mulia dan berbudi pekerti tinggi. Akhlak yang mulia adalah lambang keimanan. Akhlak sangat penting dalam agama Islam, kerana Islam mementingkan kelakuan yang baik yang terpancar dari keimanan seseorang. Akhlak dan iman seperti pokok dan buah. Antara kedua-duanya selaras. Akhlak yang baik menunjukkan iman yang baik manakala akhlak yang buruk menunjukkan iman yang buruk. Antara Islam dan akhlak tiada pemisahan. Kedua-duanya menunjukkan antara satu sama lain.

Rasulullah SAW besabda yang bermaksud: orang yang paling sempurna imannya ialah orang yang paling baik akhlaknya. Oleh itu perbaikilah akhlak kita dengan mengamalkan kebersihan jasmani dan rohani. Kebersihan berkait rapat dengan akhlak seseorang sehinggakan Rasulullah SAW sanggup memberi ganjaran yang lumayan kepada sesiapa yang menghafaz al quran. Menyedari hakikat ini, pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak kerajaan untuk melahirkan insan yang berakhlak mulia. Kem bestari solat, mukhayyam dan kewujudan pusat tahfiz diharapkan dapat melahirkan anak-anak yang soleh dan solehah di dunia dan akhirat. Tegasnya kebersihan mampu melahirkan generasi yang berakhlak mulia.

Selain itu kebersihan juga merupakan syarat penrimaan ibadah seseorang mukmin. Allah SWT berfirman dalam surah al Maida ayat 6

يا أيها الذين أمنوا إذا قمتم إلى الصلاة فاغسلوا وجوهكم وأيديكم إلى المرافق وامسحوا برءوسكم وأرجلكم إلى الكعبين وإن كنتم جنبا فاطهروا (الماءدة: 6)

“Hai orang-orang yang beriman, bila kamu hendak mengerjakan shalat, maka basuhlah mukamu dan tanganmu sampai dengan siku, dan sapuhlah kepalamu dan (basuhlah) kakimu sampai dengan kedua mata kaki, dan jika kamu junub maka mandilah. (Q.S al-Maidah: 6).

 

            Adanya kewajipan solat 5 waktu sehari merupakan jaminan terpeliharanya kebersihan badan secara terbatas, kerana ibadah solat itu baru sah kalau kita terlebih dahulu membersihkan diri dengan berwudhu’. Demikian juga ibadah tersebut baru sah jika pakaian dan tempat dimana kita melakukannya ternyata bersih. Rasulullah SAW pernah menegur sahabatnya yang berpakaian kusut masai dan mulutnya disuapkan dengan yang haram bahawa doanya tidak diterima oleh Allah SWT. Sesungguhnya jiwa yang bersih menjadi asas kekuatan ibadah. Suasana yang bersih juga akan menjadikan kita lebih khusyuk melakukan ibadah dan seterusnya diterima oleh Allah. Program sumur dan Rakan Masjid yang dianjurkan dapat mendidik masyarakat tentang pentingnya kebersihan terhadap ibadah. Benarlah kewajipan menjaga kebersihan menjadi syarat utama penerimaan sesuatu ibadat.
 

Subur mewangi di dalam taman,

lalu dipetik si bunga kekwa;

Kebersihan separuh daripada iman,

Itulah tanda orang bertaqwa
 

Hadirin yang saya hormati,

            Kebersihan juga menjamin keutuhan budaya kerja individu. Insan yang mengamalkan kebersihan kebersihan hati dalam melaksanakan tugasan harian dapat membersihkan jiwa daripada sifat mazmumah. Jiwa yang bersih melahirkan insan yang jujur dan amanah dalam setiap tindakan. Kebersihan jiwa juga dapat menjauhi daripada mengikut hawa nafsu dalam membuat keputusan.    
 
            Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud; sesungguhnya Allah menyukai seseorang yang bekerja dengan tekun dan bersungguh-sungguh. Oleh itu, untuk menjadi hamba yang disukai oleh Allah, kita haruslah tekun dan gigih dalam melakukan sesuatu pekerjaan.

            Kita kenang sebentar sirah Rasulullah SAW sewaktu menghadapi Perang Khandak. Umat Islam pada waktu itu tekun dan bekerjasama membuat persiapan dengan menggali parit bagi menghadapi Perang Khandak. Ketekunan dan kesungguhan mereka membuahkan hasil apabila umat Islam menang dalam peperangan tersebut.

            Bidang Keberhasilan Utama Negara atau NKRA yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak merupakan salah satu usaha kerajaan bagi memenuhi keperluan rakyat Malaysia. Tuntasnya kebersihan merupakan unsur penting bagi menjamin kualiti budaya kerja.

            Penjagaan kebersihan juga mampu menjamin kemantapan ekonomi. Iman yang luhur akan menghapuskan unsur riba dan kapitalis. Allah SWT berfirman dalam al Quran yang bermaksud; dan Allah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. Ekonomi yang bebas riba akan menguntungkan semua pihak. Harta boleh dibersihkan daripada unsur riba melalui zakat dan sedekah.

            Hal ini dibuktikan pada zaman pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz yang menngalami ekonomi yang stabil sehingga tiada yang layak menerima zakat pada zaman pemerintahan baginda. Menjadikan kisah pada zaman khalifah umar abdul aziz, negara Malaysia pada hari ini masih mengalami pertumbuhan ekonomi yang rancak walaupun dunia mengalami krisis ekonomi yang teruk. Benarlah bahawa kebersihan menjadi pencetus kepada kemantapan ekonomi.


Sidang warga dewan sekalian,

            Berdasarkan syarahan tadi, saya dapat simpulkan bahawa kebersihan menjadi asas keutuhan dan keunggulan ummah. Sebagai umat Islam kita seharusnya mengamalkan kebersihan walau dimana kita berada kerana Islam itu bersih, janganlah kita mengotorinya dengan perkara yang buruk. Hal ini demikian kerana kebersihan lambang keimanan.


Si dara termenung ditepian telaga,   

            Menanti si putera membawa bulan,

            Kebersihan harus kita jaga,

            Itulah tanda orang beriman.

 

            Sekian sahaja daripada saya. Semoga apa yang saya sampaikan pada hari ini menjadi pedoman kepada kita sebagai umat islam menghadapi hari  muka.

Sekian wabillahitaufikwalhidayah wassalamu’alaikum warahmatullah hiwabarakatuh.